Kadangkala saya terfikir, apa itu berjaya dan mempunyai masa depan yang cerah? Apa itu definisi berjaya dalam hidup? Bagaimanakah rupa masa depan yang cerah?
Sejak dari kecil, kita dipaksa dan dimomokkan dengan idea belajar bersungguh-sungguh, pastikan keputusan peperiksaan cemerlang, pasti kita berjaya dan ada masa depan yang cerah. Jalan cerita kehidupan pelajar cemerlang rata-rata sudah boleh diagak. Begini ya, belajar bersungguh-sungguh di sekolah. Pasti pernah dapat sekali dua atau berkali-kali anugerah pelajar cemerlang. Kemudian masuk ke universiti awam terkemuka atau belajar di universiti luar negara. Dalam umur 24 tahun begitu, habis belajar, cari kerja dengan syarikat terkemuka. Hmm, awak belajar sungguh-sungguh sebab nak kerja dengan orang ye? Opps, maaf kalau terasa. Ok kita sambung semula. Lepas dapat kerja, kerja dan kerja kumpul wang untuk kahwin. Kerja lagi kerja moga majikan naik pangkat. Kerja lagi kerja beli rumah , kerja dan kerja sehingga pencen. Ini kehidupan tipikal orang 'berjaya'. Selesa bukan?
Kenapa jalan cerita kebanyakannya sama? Apa sebenarnya itu kehidupan yang berjaya dan cerah?
Berjaya dan masa depan yang cerah selalunya digambarkan bekerja di bandar, berbaju formal dan segak, mempunyai gaji tetap, kereta besar dan bekerja di bangunan yang tinggi.
Oh ya, termasuk juga, waktu kerja yang tetap 8 pagi hingga 5 petang (kalau yang normal, kalau kerja teruk mungkin lebih masa), terpaksa mengharungi kesesakan jalan raya yang teruk (bergantung pada keadaan cuaca dan samada ada halangan kereta rosak atau kadang-kadang sesak tanpa sebab) dan bersempit di dalam tren ketika waktu puncak (mestilah ketika pergi dan balik kerja). Belum masuk cerita politik di pejabat lagi. Masa bersama keluarga amat terhad, hanya pada waktu malam, kalau sempat pulang awal waktu petang (tidak sangkut dalam jem) mungkin ada sedikit masa lebih untuk anak-anak.
Bagaimana pula hidup orang yang dikatakan kurang berjaya?
Contohnya mungkin kerja di kampung atau kawasan luar bandar, hanya buat bisnes kecil-kecilan atau mengerjakan kebun dan ladang. Waktu kerjanya tidak tetap, hanya buat kerja apabila sudah habis barang dijual, atau sudah mendapat target untung jualan, atau sudah keletihan bekerja di kebun. Masanya tidak terikat dengan polisi pejabat, majikan atau rakan sekerja, bila-bila masa boleh pulang ke rumah. Pendapatannya tidak tetap, ada masa dapat lebih, ada masa dapat kurang, bergantung pada rezeki pemberian Allah.
Hmmmm....
Saya teringat ceramah oleh Ustaz Nouman Ali Khan. Ceritanya begini.
Kita lihat seorang lelaki, menaiki Ferrari dan mempunyai rumah banglo yang sangat besar. Mengikut definisi kita, lelaki ini seorang yang berjaya dan punyai masa depan cerah.
Kita lihat pula seorang lelaki, kerjanya di ladang, mencangkul tanah untuk menanam, menternak haiwan. Hanya punyai motorsikal cabuk sahaja. Mengikut definisi kita, lelaki ini tidak berjaya dalam hidupnya. Benarkah?
Cuba kita lihat kisah Firaun dan Nabi Ibrahim. Firaun hidup di istana, kaya raya, punyai pelbagai harta. Dari definisi kita, Firaun seorang yang berjaya.
Nabi Ibrahim tidak punyai istana, hidup berkelana berpindah ke sana ke mari. Dari definisi kita, Nabi Ibrahim bukan seorang yang berjaya.
Tapi kejayaan di sisi Allah berbeza. Firaun seorang yang dihina dan Nabi Ibrahim seorang yang mulia.
Jadi, kejayaan dan masa depan yang cerah bukan diukur hanya dengan materialistik semata-mata.
Adakah anda antara orang yang berjaya tipikal atau berjaya di sisi Allah?

0 comments:
Post a Comment