Monday, May 4, 2015

Pengenalan

Hai, ini adalah entry pertama untuk blog saya ini. Saya membuat keputusan untuk menulis demi mengasah skill penulisan saya, selepas membaca buku 'Aku Kafir, Kau Siapa? ' tulisan saudara Ooi Kok Hin. Saya merasa tercabar membaca susunan ayat dan gaya penulisan beliau yang boleh saya katakan lebih bagus daripada majoriti orang Melayu yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda. Terima kasih saudara Ooi !(walaupun kita tidak mengenali satu sama lain)

Sebelum itu, biar saya terangkan sedikit riwayat kehidupan saya sebagai pembuka blog ini. Saya sebelum ini adalah sama seperti anak-anak muda yang lain. Hidup hanya ingin enjoy, hanya ikut-ikut orang sekeliling, tidak perlu fikirkan masalah hidup. Saya amat kurang membaca buku. Ketika masih di zaman kanak-kanak, adalah membaca beberapa buku untuk kanak-kanak dan pembaca muda. Buku kisah dongeng, buku karya Enid Blyton dan beberapa buku klasik Inggeris yang telah diolah supaya mudah dibaca oleh budak-budak.

Ketika di zaman sekolah menengah, saya menjadi pengawas perpustakaan. Apabila menjadi pengawas perpustakaan, amat mudah untuk membaca buku di perpustakaan pada bila-bila masa sahaja. Jadi, kebanyakan masa prep saya akan duduk di perpustakaan bersama beberapa orang rakan untuk membuat kerja sekolah atau hanya melepak sambil membaca buku. Saya sering mengambil buku sejarah atau sains yang penuh dengan gambar ilustrasi. Kemudian saya teringat kata-kata seorang rakan saya yang merupakan seorang pelajar cemerlang; sering mendapat nombor satu dalam tingkatan.

"Buat apa baca buku-buku begitu, bukannya dapat membantu keputusan peperiksaan. Tidak berguna. Ambil buku teks ini dan baca nota-nota guru. Ini lagi penting."

Sebagai seorang yang naif dan lembab, saya hanya ikut sahaja kata-kata rakan itu, demi mengejar keputusan yang lebih cemerlang. Dan saya tinggalkan pembacaan buku-buku selain buku pelajaran hingga ke zaman universiti. Di universiti, lagilah teruk. Hidup saya seperti seorang yang tiada hala tuju. Hanya ikut-ikut kawan, pelajaran hanya hafal nota , bergaul bebas mencari cinta (kononnya).  Saya juga antara pelajar cemerlang, keputusan peperiksaan saya sejak sekolah rendah hingga ke universiti, semuanya boleh dianggap sebagai pelajar yang berjaya (iyakah?)

Setelah tamat zaman universiti, ketika inilah baru saya berfikir. Saya mendapat pekerjaan di sebuah syarikat minyak yang agak terkenal dan besar. Saya mulakan kehidupan di ibu kota. Pada mulanya, saya agak kejutan budaya. Selama ini, saya sering dikelilingi sahabat sebaya, baik di sekolah mahupun di universiti. Apabila memulakan alam pekerjaan, rakan sekerja kebanyakannya lebih tua daripada saya, ada yang mempunyai anak sebaya saya. Suasana yang agak ganjil bagi saya kerana saya tidak pernah berseorangan. Saya juga menyewa rumah di Kuala Lumpur. Di rumah sewa saya, semuanya penghuninya tidak saya kenali sebelum ini, jadi saya berkenalan dengan orang baru yang mempunyai latar belakang yang berbeza-beza. Sebagau seorang yang agak senyap (introvert) , saya mengambil masa yang agak lama untuk selesa dengan suasana baru ini.

Dipendekkan cerita, semasa zaman pekerjaan inilah saya mula belajar pelbagai benda baru dalam hidup. Kehidupan sebagai seorang bujang memgajar saya untuk berdikari dan mengenali diri sendiri. Saya juga lebih selesa berseorangan, tidak seperti dahulu, hendak kemana-mana mesti berteman. Amat penting untuk kita merasa pengalaman berseorangan kerana ketika itulah kita dapat mengenali diri kita. Saya juga kembali membaca buku-buku, malah buku-buku yang saya baca bukan terhad pada buku-buku fiksyen sahaja. Saya mengenali dunia baru yang lebih mengagumkan melalui pembacaan buku. Selama saya belajar selama 10 tahun di sekolah dan 4 tahun di universiti, saya rasa saya dapat belajar lebih banyak ilmu daripada buku-buku yang baru saya baca selepas zaman belajar. Saya mengenali ilmu falsafah, ilmu sejarah, ilmu sains dan ilmu penulisan dan betapa hebatnya cabang-cabang ilmu ini, yang tidak saya pelajari ketika di zaman persekolahan. Saya mengenali Socrates, Plato, Ibn Haytam, Al-Makmun, Prof Dr Hamka, Haruki Murakami dan ramai lagi manusia-manusia hebat, yang tidak pernah saya kenali sebelum ini sekiranya saya tidak mula membaca.

Saya mungkin masih baru lagi dalam alam pembacaan ini. Saya cuba untuk mendisiplinkan diri saya untuk menulis seminggu sekali dan membaca buku sebanyak mungkin, sekurang-kurangnya sebuah buku sebulan. Memulakan minat membaca merupakan satu keputusan hidup yang terbaik bagi saya. Di sebalik kulit buku terdapat sebuah dunia asing yang hebat dan penuh dengan pemikiran-pemikiran yang tidak dapat kita kecapi melalui sistem pendidikan sekolah. Saya juga baru mengenal bahawa bahasa dan penulisan boleh menjadi begitu indah di dalam buku.

Justeru itu, saya amat-amat menyarankan kita semua agar mulalah membaca buku yang berkualiti untuk mencari kebebasan dalam hidup.


0 comments:

Post a Comment