Kadang-kadang, bila kita dengar orang lain punyai rezeki lebih dari kita, pasti timbul rasa cemburu. Kita berlumba-lumba mahukan gaji besar, punyai rumah, kereta dan mahu berkeluarga.
Bila dengar kawan bercerita mengenai rumah baru dibelinya, timbul rasa cemburu. Bila ada sahabat bergaji lebih besar dari kita, timbul rasa cemburu.
Kita tidak akan puas dengan apa yang kita ada. Kita selalu akan lihat mereka yang punyai lebih dari kita. Tidakkah kita sedar yang rezeki sudah diaturkan oleh Allah swt?
Hati kita diikat dengan kekayaan di dunia. Kita cintakan kehidupan dunia. Secara tidak sedar kita telah mensyirikkan Allah dengan bertuhankan kehidupan dunia. Tidakkah kita ingat kalimah Allahu Akbar. Allah Maha Besar. Allah mengatasi segala-segalanya dalam hidup kita. Allah adalah keutamaan hidup kita.
Kita sering risau mengenai rezeki masa depan kita. Kita buat pelbagai pelan demi masa hadapan kita. Kita labur wang sana sini demi menjaga kewangan kita di masa hadapan. Tapi kita harus ingat, bahawa wang yang kita dapat hasil dari gaji dan pelaburan kita, belum tentu dimiliki kita.
Ingatkan kita dengan para sahabat nabi? Kebanyakan mereka dari golongan berharta, tetapi tidak pula mereka ragu-ragu untuk memberikan harta mereka kepada orang lain. Kerana hati mereka tidak diikat harta dunia.
Sungguh, semoga kita dapat membebaskan diri kita dari ikatan dunia ini. Semoga kita dapat melakukan segala-galanya demi Allah.
Nota kaki: Saya sedang membaca buku " Reclaim Your Heart" oleh Yasmin Mogahed. Buku ini berkali-kali menampar hati saya dan memberi kesedaran pada saya. Saya kini sedar bahawa saya juga diikat oleh keduniaan. Bagaimana mahu bahagia jika hati ditempatkan pada benda yang tidak kekal?
Tuesday, June 2, 2015
Filem-filem Studio Ghibli
Saya bukanlah seorang peminat seni yang tegar, tapi dalam banyak-banyak filem animasi di dunia ni saya paling suka filem animasi oleh Studio Ghibli. Kebanyakan filem-filem yang dikeluarkan amat nostalgik, menghayati seni keindahan alam, imaginasi di luar fikiran, penuh pengajaran dan sarat dengan mesej-mesej kehidupan. Tidak lupa juga dengan musik latar yang sangat indah digubah oleh komposer terbaik, Joe Hisashi (antara komposer favorite saya) .
Sekarang saya sedang marathon semula semua koleksi filem animasi dari Studio Ghibli. Memang sangat 'best'. Teringat kembali zaman kanak-kanak dahulu menonton cerita 'Tonari No Totoro' dan 'Spirited Away'. Kalau hendak ceritakan pasal semua filem-filem Ghibli, setiap filem perlu ada entri masing-masing. Hampir kesemua filem adalah kegemaran saya. Tetapi, saya paling-paling suka filem 'Howl's Moving Castle'. Tak tahu mengapa, watak Sophie itu seperti ada kaitan dengan diri saya.
Bagi saya, filem-filem keluaran Studio Ghibli memang 'first class'. Lebih baik dari menonton filem Disney atau drama-drama cinta Melayu yang penuh di TV. Saya sarankan supaya anda semua menonton filem-filem animasi dari Studio Ghibli, dan bagi anak-anak kecil, beri mereka tonton 'Tonari No Totoro' dan 'Ponyo'. Memang terbaik!
